Friday, May 21, 2010

Usia kita semakin meningkat

Saban hari, tanpa kita sedar usia kita semakin hari semakin bertambah. Kesibukan menjalankan tugas kita sebagai seorang yang bekerja, pelajar, ibu, ayah, ataupun sebagai seorang anak ada kalanya membuatkan kita lupa untuk menghitung usia kita yang sebenar. Namun begitu, tidak semua dari kita yang lupa tentang hakikat ini. Pasti ramai juga dalam kalangan kita yang tidak lupa tentang umur mereka. buktinya, apabila tiba hari lahir, telah tersedia kek dan hadiah daripada orang-orang di sekeliling. Ucapan-ucapan seperti selamat hari lahir, semoga panjang umur dan dimurahkan rezeki tidak putus-putus diucapan. Hari lahir kita disambut meriah. Bahagianya diri kerana diraikan dan ini membuatkan kita tak lupa tentang usia yang semakin meningkat.

Usia meningkat, masa berkurang

Sedarkah kita bahawa meningkatnya usia kita ini merupakan satu petanda dari Allah yang masa untuk kita hidup di dunia ini semaking berkurang. Sedarkah kita bahawa meningkatnya usia kita ini membawa petanda kepada kematian yang semakin menghampiri kita. Dan, pernahkah kita berasa takut untuk menghadapinya? Adakah kita bersedia untuk menghadapinya? Jawapan kepada semua persoalan ini tentunya berbeza antara seorang individu dengan individu yang lain. Bagi mereka yang sedar tentang hakikat kehidupan yang mempunyai penghujungnya, mereka akan bersedia menghadapi pertambahan usia yang semakin hari semakin bertambah. Mereka akan menyediakan bekalan yang cukup untuk menghadapi dua alam kehidupan iaitu di dunia dan di akhirat yang kekal abadi. Dalam menjalani dan memenuhi tuntutan keduniaan, mereka tidak lupa untuk memenuhi tuntutan mereka sebagai seorang hamba kepada penciptanya. Selain patuh kepada tuntutan agama, mereka berusaha untuk mengumpul sebanyak mungkin bekalan pahala yang boleh membahagiakan kehidupan mereka di akhirat kelak. Semoga kita tergolong dalam golongan ini.

Berbeza dengan mereka yang sedang asyik dengan kehidupan dunia, mereka lupa untuk memikirkan tentang hakikat sebenar usia yang semakin meningkat. Mereka lupa untuk memikirkan kehidupan lain yang bakal mereka jalani kelak. Mereka menjalani hidup ini seolah-olah mereka akal hidup kekal di dunia dan lupa untuk menyediakan bekalan untuk kehidupan akhirat. Mereka berusaha gigih mencari harta dan kemewahan untuk hidup selesa dan bahagia, tetapi mereka lupa akan tuntutan mereka sebagai hamba Allah. Alangkah sedihnya jika kita tergolong dalam golongan ini. Semoga Allah terus memelihara dan menjaga diri kita semua agar terus berada dalam rahmat dan perlindungannya. Semoga kita terus hidup dan mati dalam agama-Nya. Semoga kita terus sedar akan hakikat usia kita yang semakin hari semakin meningkat memberi petanda bahawa kita tidak akan lama lagi di dunia ini. Sama-samalah kita berdoa agar umur dan usia yang Allah kurniakan kepada kita ini kita pergunakannya ke arah jalan yang diredhai-Nya. Amin.

No comments:

Post a Comment